.
Booking.com

Tuesday, August 19, 2008

Renungan untuk Anak Yatim

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya." Riwayat Ibnu Majah

Huraian

i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira.

ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.

iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung. Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud :

"Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya."

iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran melalui firmanNya dalam Ayat 1-2 Surah al-Ma'un yang bermaksud : "Tahukah engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim !"

Monday, August 11, 2008

Pahala besar jaga kebajikan anak yatim

Pahala besar jaga kebajikan anak yatim

SAYID Qutub berkata: Dasar takaful sosial itulah dasar masyarakat Islam. Kaum Muslimin diwajibkan menjaga kepentingan golongan yang lemah di dalam masyarakat. Anak-anak yatim yang kehilangan bapa mereka dan masih kecil merupakan golongan yang lebih utama mendapat perhatian dan perlindungan kaum Muslimin terhadap keselamatan diri dan harta mereka.

Dahulu sesetengah penjaga anak-anak yatim itu mencampurkan makanan anak-anak yatim dengan makanan mereka. Harta anak-anak yatim dengan harta mereka untuk sama-sama dilaburkan dalam perniagaan menyebabkan kadang-kadang berlaku penganiayaan terhadap anak-anak yatim.

Sejak itu, orang-orang yang bertakwa merasa keberatan (untuk makan bersama anak-anak yatim) hingga mereka asingkan makanan anak-anak yatim daripada makanan mereka.

Firman Allah: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)

Firman Allah s.w.t: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim.

Ulama telah khilaf siapakah yang bertanya kepada Nabi s.a.w. dengan dua pendapat:

Pertama: Thabit bin Rifa’ah al-Ansari. Inilah pendapat Mujahid.

Kedua: Abdullah bin Rawahah. Inilah pendapat Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

Ibn al-Arabi berkata: Sebab turunnya, diriwayatkan bahawa turunnya ayat 10 surah al-Nisa’ yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim…

Orang berasa serba salah untuk bergaul dengan anak-anak yatim pada harta-harta mereka lalu mereka mengasingkan diri daripada anak-anak yatim. Maka Allah menurunkan ayat ini yang bermaksud: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), tentang masalah anak-anak yatim. Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baik.

Ini bermaksud memperbaiki harta benda mereka lebih baik daripada menyisihkan mereka. Firman ini memberi keizinan menguruskan harta anak yatim dengan niat yang baik iaitu untuk kepentingan anak yatim itu sendiri bukan kepentingan sendiri.

Oleh sebab itu al-Quran sekali lagi mengembalikan kaum Muslimin kepada sikap yang sederhana dan menggunakan cara yang mudah dalam menghadapi perkara ini dan mencari kebaikan untuk anak-anak yatim dan bertindak dalam batas-batas yang mendatangkan muslihat kepada mereka.

Mengusahakan kebaikan-kebaikan untuk anak-anak yatim itu lebih baik daripada berasingan. Ini kerana tidak ada apa-apa kesalahan dalam percampuran dengan mereka selama percampuran itu mendatangkan kebaikan kepada mereka.

Anak-anak yatim itu adalah sama seperti saudara-saudara kepada para penjaga mereka. Mereka adalah saudara seagama dalam Islam. Mereka adalah anggota-anggota dalam keluarga Islam yang besar dan Allah mengetahui sesiapa yang membuat kerosakan dan sesiapa yang membuat kebaikan. Yang menjadi asas pegangan bukannya tindakannya yang lahir, tetapi ialah niat dan hasilnya.

Tercetus

Demikianlah segala urusan ini dihubungkan kepada Allah dan diikatkan pada paksinya yang kukuh di mana berlegarnya akidah dan hayat. Inilah kelebihan perundangan yang diasaskan di atas akidah. Oleh itu, jaminan pelaksanaan undang-undang selama-lamanya tidak datang dari luar andainya ia tidak tercetus dan bertunjang di dasar-dasar hati nurani.

Firman Allah: Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama);

Apabila Allah mengizinkan manusia bercampur gaul dengan anak-anak yatim bagi tujuan memperbaiki dan menyelia urusan mereka, maka itu adalah dalil keharusan mengurus bagi pihak anak yatim sebagaimana mengurus bagi pihak anak yatim.

Dalam athar ada disebutkan: Sebagaimana caranya engkau mendidik anakmu maka didiklah anak yatim dengan cara itu. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan: Adalah harus bagi pengasuh membelanjakan harta anak yatim sebagaimana wasi membelanjakannya dalam soal jual beli, pembahagian dan selainnya. Kami telah menerangkan hal ini dalam kitab Masail al-Furu'’ Inilah pendapat yang dipegang oleh penulis.

Oleh itu tindakan pengasuh itu diperakui sama ada pada harta yang banyak itu sedikit berdasarkan kemutlakan ayat tersebut.

Firman Allah: Dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka).

Apabila seseorang mengambil tanggungjawab menjaga anak yatim, maka dia boleh menguruskan harta anak yatim itu. Sekalipun tidak dilantik oleh wali anak yatim itu. Ini disebabkan ayat tersebut menyebutkan kebenaran itu secara mutlak dan kerana kafalah (penjagaan) itu juga sama kedudukan seperti wilayah (kewalian) yang umum.

Ketahuilah bahawa tidak ditemui berita daripada mana-mana khalifah yang melantik seseorang untuk menjaga anak yatim, walaupun ramai anak yatim yang ada pada zaman mereka, tetapi mereka memperakui hak menjaga anak yatim itu apabila anak yatim itu tinggal dengan mereka.

Diriwayatkan daripada Umar r.a. bahawa beliau berkata tentang seorang anak pungut: “Dan merdeka, engkau boleh menjadi walinya dan kami bertanggungjawab membiayainya.” Yang dimaksudkan dengan wali itu ialah wali bagi urusan penjagaan bukannya bagi urusan harta pusaka, seperti yang disangkakan oleh satu kumpulan.

Firman Allah: Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Setiap perkara yang dibimbangi tetapi Allah menyerahkan kepada orang mukalaf untuk menjalankan amanahnya, tidak boleh dikatakan; Orang itu hendak mengelakkan daripada melakukan perkara yang ditegah, kerana itulah dia enggan melakukannya.

Samalah sebagaimana Allah menjadikan orang perempuan beramanah menjaga kemaluan mereka, sedangkan dari aspek lain banyak lagi bahaya yang boleh keluar daripada kata-kata mereka yang bersangkut dengan hukum hakam dan berkait dengan halal, haram dan keturunan, walaupun ada kemungkinan mereka boleh berbohong. Sesungguhnya ini adalah satu gaya penerangan yang menarik.

Sepatutnya anda memberikan perhatian dan menjadikannya sebagai pedoman dalam usaha mengetahui hukum-hakam. Allah jua yang memberikan taufik ke arah yang benar dengan rahmatnya.

Iktibar Ayat


* Tanggungjawab memelihara anak yatim merupakan besar pahalanya.

* Sifat Allah yang Maha Mengetahui mana yang buruk dan mana yang baik.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa lagi Bijaksana.


* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Apakah hak anak-anak yatim, cara terbaik menggauli mereka dan peranan rumah-rumah anak yatim?

Apakah hak anak-anak yatim, cara terbaik menggauli mereka dan peranan rumah-rumah anak yatim?

JAWAPAN:

Pertamanya, elok kita lihat takrifannya. Ulama telah mentakrifkan anak yatim sebagai: “Apabila seorang kanak-kanak kematian bapanya sama ada lelaki atau perempuan yang belum baligh, maka mereka digelar yatim”.

Kebanyakan ulama berpendapat kanak-kanak yang kematian bapa sahaja yang digelar yatim.

Ini kerana keperluan mereka kepada bapa di dalam menyediakan makan minum, tempat tinggal dan sebagainya ini merujuk kepada peranan dan tanggungjawab seorang ayah.

Istilah yatim piatu pula tidak ada dalam kamus Arab melainkan ia terdapat dalam kamus perbualan masyarakat Melayu.

Panggilan serta kelebihan yang diperolehi oleh anak-anak yatim ialah selagi mana mereka belum mencapai umur baligh.

Ibn Ruslan pernah berkata: “Apabila anak yatim itu sampai kepada umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh) maka tidak boleh lagi digelar dengan nama ‘yatim’”.

Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim.

Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud: Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu. (riwayat Muslim ).

Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam syurga.

Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara.

Kelebihan ini diperoleh sama ada dengan melindungi anak yatim dengan hartanya atau pun dengan harta anak yatim yang ditinggalkan melalui pentadbiran dan pengurusan yang baik.

Dalam sepotong athar daripada Abi Umamah berkata : “Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim kerana Allah baginya pahala atas setiap helai rambut yang disentuhnya.”

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.”

Allah s.w.t. memberi amaran yang keras ke atas orang-orang yang merosakkan harta anak-anak yatim dengan mencampuradukkan harta mereka dengan harta anak yatim.

Firman Allah yang bermaksud: Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar. (al-Nisa’: 2)

Dalam ayat-ayat yang lain Allah mengecam perbuatan memakan harta anak yatim tanpa hak. Antaranya, firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka sedang memenuhkan perut mereka dengan memakan api neraka dan tempat kembali mereka ialah neraka. (al-Nisa’: 10)

Maksud firman Allah lagi:Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. (Dhuha: 9-10)

Maksudnya: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim… (al-Maun: 1-2)

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, Maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (al-Israk: 34)

Apabila turun ayat ini sahabat yang di rumahnya ada anak yatim mula mengasingkan makanan mereka daripada makanan yang lebih baik bagi anak-anak yatim. Kadang-kadang makan yang diasingkan itu menjadi basi dan rosak. Maka turunlah ayat 220 surah al-Baqarah itu tadi.

Anak-anak yatim adalah amanah Allah s.w.t., orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya. Mereka telah dijanjikan limpah kurnia di dunia dan balasan syurga dan mendampingi baginda di syurga kelak.

Masyarakat awam juga mempunyai tanggungjawab sosial ke atas mereka dengan menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan rumah anak- anak yatim yang kadang-kadang mengharapkan bantuan dari orang ramai.

Masih banyak lagi rumah anak yatim yang serba daif menantikan bantuan dan perhatian orang ramai.

Seperkara yang ingin saya ingatkan agar wujudnya keseimbangan dalam mendidik anak-anak yatim.

Limpahan bantuan yang berlebihan juga boleh menjadikan mereka orang tidak mengerti erti kesusahan.

Biasanya anak-anak yang membesar dengan kemewahan tanpa kawalan dan pengawasan tidak dapat berdikari. Lebih-lebih lagi apabila persoalan pendidikan agama tidak dititikberatkan.

Friday, August 8, 2008

Fadilat bersedekah

Sedekah ini fadilat utamanya ada tiga iaitu rezeki murah, dapat menolak bala dan panjang umur. Sebabnya, apabila kita bersedekah, penerimanya akan mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda penghargaan kepada Allah dan juga kepada manusia yang memberikan sumbangan. Ini juga dijelaskan dalam hadis yang bermaksud, “ Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.”

Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.

Amalan Sedekah

Bersedekah meningkatkan keberkatan rezeki

Dasyatnya sedekah

Tuesday, August 5, 2008

Monday, August 4, 2008

Bersedekah jangan kira bangsa, agama

SEMPENA bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam digalakkan bersedekah di dalam kerangka menambah amal ibadah.

Tafsiran sedekah itu sendiri amat luas. Sedekah wang ringgit dan tenaga dalam bentuk amalan kebajikan seperti membantu orang lain dalam kesusahan, memberi apa-apa khidmat yang diperlukan oleh sesiapa sahaja, mengajar ilmu dan sebagainya.

Alhamdulillah dalam masyarakat kita lihat umat Islam dan pelbagai organisasi Islam dilihat berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam program terutamanya memberi bantuan berbentuk makanan dan kewangan. Namun ini nampaknya semarak hanya di kalangan orang Islam.

Ada juga orang Islam yang mengadakan jamuan berbuka puasa dan dijemput sahabat dan kenalan bukan Islam. Islam tidak melarang malah amalan ini dilihat boleh meningkatkan persahabatan dan perpaduan anggota masyarakat.

Namun saya ingin melihat sedekah kewangan atau makanan ini tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja. Yang miskin dan yang lapar bukan daripada kalangan orang Islam sahaja.

Lihatlah di sekeliling kita, pasti terdapat orang bukan Islam yang menderita. Agama Islam tidak pula mensyaratkan sedekah ini hanya dikeluarkan kepada orang Islam sahaja. Malah sesetengah ulama berpendapat zakat itu sendiri boleh diberi kepada kalangan bukan Islam yang miskin untuk menjinakkan mereka kepada Islam.

Masjid-masjid yang memberi makanan kepada orang ramai hendaklah juga membuka pintu sedekah mereka kepada orang bukan Islam yang miskin.

Biarlah mereka juga merasai nikmah dan rahmah Allah SWT pada bulan Ramadan yang berkat ini. Orang Islam yang beratur untuk mengambil makanan seperti bubur lambuk di Masjid Kampung Baru dan masjid-masjid lain bukannya semua daripada kalangan yang tidak mampu, malah yang ramai datang hanya untuk merasa bubur lambuk yang masyhur itu dan malah mungkin lebih daripada mampu untuk layak mendapat makanan percuma.

Pelbagai majlis dianjurkan oleh korporat untuk anak-anak yatim yang boleh dikatakan semuanya anak-anak yatim Islam. Bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang bukan Islam dan memang banyak terdapat rumah-rumah anak yatim agama-agama lain.

Mereka juga perlu perhatian daripada masyarakat Islam. Mungkin lebih berkesan kalau peruntukan-peruntukan korporat-korporat tersebut disampaikan kepada pengurusan rumah anak yatim untuk mengurus kehidupan mereka sepanjang tahun daripada berhabis dengan acara berbuka puasa yang ada unsur pembaziran dan kadangkala maksiat (acara hiburan sehinggakan waktu solat tidak dihormati).

Selamat berpuasa dan semoga amalan pada bulan Ramadan berkekalan sepanjang tahun.

Amalan Sedekah

Bersedekah meningkatkan keberkatan rezeki

Dasyatnya sedekah

Kebajikan anak yatim adalah fardu kifayah

Fardu kifayah - Kebajikan anak yatim

RIWAYAT At-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda: Barang siapa yang memelihara seorang anak yatim dengan memberi makanan dan minuman dengan puas, maka Allah s.w.t memasukkan ia ke dalam syurga kecuali ia mengerjakan dosa yang tidak dapat diampuni.

Malah menurut hadis Sahih Muslim, Rasulullah s.a.w turut bersabda: Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga. Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.

Kedua-dua hadis di atas, jelas membuktikan sesungguhnya Allah s.w.t telah menjanjikan ganjaran syurga kepada umatnya yang memelihara dan memberi perlindungan kepada anak-anak yatim.

Sebagai umat Islam, adalah satu kewajipan menitikberatkan hak penjagaan anak-anak yatim termasuk tempat tinggalnya. Sepatutnya mereka diberi layanan istimewa seperti yang disebut di dalam al-Quran dan hadis.

Sekiranya mereka tidak diberi layanan yang sewajarnya, besar kemungkinan kita terdedah kepada kemurkaan Allah s.w.t. kerana mengabaikan satu golongan yang hilang tempat bergantung.

``Mereka juga seperti orang lain dan memerlukan kasih sayang. Jangan pinggirkan perasaan mereka sebaliknya berikanlah layanan yang baik,'' ujar bekas Timbalan Pengetua Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Wan Akashah Wan Ab Hamid.

Allah berfirman dalam surah al-Ma'un ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menindas anak yatim, dan tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin.

Mereka yang menzalimi anak yatim tidak akan mendapat hak kerana tidak melayani anak-anak yatim dengan baik. Seperti mana dalam surah al-Fajr ayat 17 hingga 18. Allah berfirman bermaksud: Sekali kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin.

Jelas di dalam al-Quran, golongan orang yang mendustakan agama ialah mereka yang tidak memberi layanan atau mengambil berat tentang anak-anak yatim dan bersikap lepas tangan.

Tambah Wan Akashah, Rasulullah s.a.w telah memberi contoh yang baik kepada umatnya bagaimana untuk melayani anak-anak yatim berdasarkan kepada sebuah kisah yang berlaku di zaman baginda.

Melembutkan hati

Pada suatu hari, Nabi hendak ke masjid menunaikan solat hari raya. Tiba-tiga baginda terserempak dengan seorang anak yatim yang sedang menangis. Lalu baginda bertanya, ``Kenapa engkau menangis?'' Budak itu menjawab, ``Saya tidak mempunyai ayah dan rakan-rakan memakai baju baru tetapi saya keseorangan''.

Kemudian baginda membawa budak itu pulang ke rumah dan bertanya kepadanya, ``Mahukah engkau mendapat seorang ayah iaitu Rasulullah s.a.w. dan saudara kamu ialah Fatimah?'' Budak itu seterusnya dimandikan dan diberi pakaian baru.

Rasulullah s.a.w juga bersabda dari hadis riwayat at- Tabrani, di antara cara melembutkan hati seseorang, hendaklah mengusap kepala anak yatim. Ini merupakan kelebihan untuk orang-orang yang kurang sabar dan pemarah.

Bagaimanapun, keadaan rumah anak-anak yatim di Malaysia pada hari ini berada pada tahap sederhana. Dengan paparan imej yang daif dan menyedihkan, membuktikan keadaan mereka yang tidak terurus.

Akui beliau, sistem pengurusan rumah anak yatim di Malaysia harus berubah ke arah yang lebih profesional dan sepatutnya mereka menubuhkan satu persatuan agar dapat berhubung antara satu sama lain berkenaan kelemahan atau kekurangan yang boleh diperbaiki.

``Hal kebajikan anak yatim yang ditadbir dengan pengurusan cemerlang termasuk sebahagian daripada fardu kifayah iaitu ibadat yang dituntut oleh Allah,'' jelas beliau yang kini sedang dalam proses menyiapkan tesis untuk Doktor Falsafah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Menurut Wan Akashah, Rumah Il-ham Yayasan Anak-anak Yatim Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail (YAYPTTDI), merupakan contoh pengurusan dan pentadbiran rumah anak yatim yang terbaik dan wajar dijadikan contoh.

``Yayasan tersebut bukan sahaja menyediakan tempat tinggal malah konsepnya seperti sekolah berasrama penuh, di samping menitikberatkan pendidikan akademik dan agama. Inilah satu model rumah anak-anak yatim yang kita perlukan,'' katanya merujuk kepada usaha Pengerusi YAYPTTDI, Hassanuddin Ali dan beberapa rakannya untuk menubuhkan rumah anak yatim tersebut.

Lawatan

Langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah, pihak pengurusan hendaklah melakukan lawatan ke sekolah-sekolah asrama penuh yang terbaik di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ini dapat dijadikan model kepada pengurusan institusi yang lebih sistematik dan menimba pengalaman mereka menguruskan sejumlah pelajar yang ramai di sekolah.

Beliau juga berpendapat, warden perlu diberi kemahiran dan kepakaran keibubapaan tentang kaedah untuk menangani dan mendidik anak-anak yang tidak mempunyai penjaga.

``Dengan adanya tempat tinggal, makanan yang cukup, pakaian ter-

urus, pendidikan dan kasih sayang, maka mereka tidak akan merasa rendah diri dan dipinggirkan. Kita perlu ingat, kehilangan orang tersayang pada usia muda boleh menganggu emosi dan psikologi mereka. Suasana tempat tinggal yang penuh dengan kasih sayang dapat mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,'' jelas beliau lagi.

Pemberian sumbangan ataupun bantuan pula haruslah diteliti keperluannya terlebih dahulu. Ini amat penting supaya wang yang disalurkan tidak disalah gunakan untuk kepentingan peribadi.

Nabi bersabda, Setiap umat itu ada ujian dan ujian kepada umatku adalah harta. Bukankah wang dan harta boleh menyebabkan manusia hilang pedoman?

``Jika kita khusyuk ketika mendirikan solat. Begitu juga bila kita menguruskan rumah anak-anak yatim. Janganlah bersikap lepas tangan dan mengabaikan kebajikan mereka,'' tegas beliau yang memandang berat terhadap soal pendidikan agama anak-anak yatim.

dipetik dari http://www.telagabiru.net.my/index/index.php?option=com_content&task=view&id=68&Itemid=27

Sunday, August 3, 2008

Panduan mengurus harta anak yatim

Panduan mengurus harta anak yatim dijelaskan dalam ayat berikut:

“Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas berpatutan dan janganlah kamu tergesa-gesa membelanjakannya sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) itu mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari makan memakan harta anak yatim itu dan barangsiapa (penjaga) yg miskin, bolehlah dia memakan harta itu menurut kadar yg patut…) AQT 4 (an-Nisaa’ : 06)

Tafsir Ibn Jauzi (w. 597H, Baghdad) menjelaskan dalam tafsirnya, maksud makan harta anak yatim dengan berpatutan itu:

1. menggunakannya dengan cara pinjaman (loan)
2. membelanjakan menurut kadar keperluan dan tidak berlebihan

3. menggunakan harta itu setimpal dengan nilai kerja yang dilakukan demi kepentingan anak yatim itu
4. pengurus mengambil dalam keadaan terdesak, apabila ia kelapangan ia memulangkan semula, tapi kalau tidak mampu, maka ia halal.

Begitulah maksud ayat itu dan maksud memakan harta anak yatim oleh pengurusnya. sekian WA

Aktiviti Bulan Ini